Thursday 2 March 2023

NOTA T2P17 – RUKHSOH ANUGERAH DARIPADA ALLAH SWT

T2P17 – RUKHSOH ANUGERAH DARIPADA ALLAH SWT

 

Konsep Rukhsoh Dalam Syariat Islam

1 Rukhsoh dari segi bahasa ialah mudah dan ringan. Maksudnya dari segi istilah pula ialah keringanan hukum yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada seseorang yang mukallaf kerana keuzuran tertentu.

2 Contoh rukhsoh ialah solat ketika musafir yang membolehkan seseorang solat secara qasar iaitu memendekkan solat fardu empat rakaat menjadi dua rakaat.

 

Hikmah Rukhsoh Dalam Ibadah

1 Hikmah rukhsoh dalam ibadah:

(a)    Melaksanakan tanggungjawab agama ketika berada dalam kesulitan.

(b)   Melaksanakan ibadat mengikut kemampuan diri masing-masing.

(c)    Merasai kasih sayang Allah SWT dan Islam sebagai agama yang mudah dan tidak membebankan.

(d)   Mempelajari kaedah membuat keputusan mengikut keutamaan seperti solat secara jamak, qasar dan solat ketika musafir.

 

 

UNIT 1 : MENYAPU BALUTAN

 

Maksud Menyapu Balutan

1 Menyapu balutan ialah menyapu air ke atas pembalut luka bagi menggantikan wuduk untuk membolehkan ibadat seperti solat dilaksanakan. Ini bertujuan menghindar kemudaratan sebelum luka sembuh.

 

Hukum Menyapu Balutan

1 Wajib ketika berwuduk dan mandi wajib sebagai ganti membasuh atau menyapu anggota wuduk yang sakit.

 

Dalil Menyapu Balutan

1 Syarak membenarkan untuk menyapu balutan bagi menjaga maslahah diri manusia ketika kesusahan.

2 Ini berdasarkan hadis yang mengenai seorang sahabat yang luka di kepala dan telah mimpi bersetubuh lalu mandi wajib sehingga menyebabkannya meninggal dunia.

3 Mendengar kejadian ini, Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Jabir RA:

Maksud: Sesungguhnya cukup baginya bertayammum dan membalut luka dengan perca kain. Kemudian, dia menyapu air atasnya (balutan) dan mandi ke seluruh badannya (mandi wajib).

 

Anggota Wuduk Tidak Berbalut Dan Tidak Boleh Terkena Air

1 Sebahagian kecil anggota wuduk tidak boleh terkena air.

(a)    Berwuduk seperti biasa.

(b)   Apabila sampai ke anggota wuduk yang luka, sapu air ke atas luka tersebut.

(c)    Jika luka tidak boleh disapu air, elakkan daripada menyapunya.

(d)   Tidak perlu qadak solat selepas sembuh.

2 Sebahagian besar anggota wuduk tidak boleh terkena air.

(a)    Pesakit perlu bertayammum sekiranya sebahagian besar anggota wuduk seperti tangan, kepala dan kakinya tidak boleh terkena air.

(b)   Solat tidak perlu diqadak selepas sembuh.

3 Seluruh anggota wuduk tidak boleh terkena air.

(a)    Mengangkat hadas dengan tayammum.

(b)   Jika pegawai perubatan mengesahkan bahawa pesakit tidak boleh bertayammum, maka solat hendaklah ditunaikan tanpa mengangkat hadas.

(c)    Solat tidak perlu diqadak selepas sembuh.

 

Anggota Wuduk Berbalut Dan Tidak Boleh Terkena Air

1 Sekiranya anggota wuduk pesakit berbalut dan tidak boleh terkena air, maka:

(a)    Berwuduk seperti biasa.

(b)   Apabila sampai ke anggota wuduk yang berbalut, sapu air ke atas balutan tersebut.

(c)    Jika balutan tidak boleh disapu dengan air, maka elakkan daripada menyapunya.

(d)   Tunaikan solat seperti biasa dan tidak perlu diqadak selepas sembuh.

 

 

UNIT 2 : SOLAT JAMAK DAN QASAR

 

Maksud, Bahagian Dan Syarat Diharuskan Solat Jamak

1 Solat jamak ialah menghimpunkan dua solat fardu dalam satu waktu.

2 Bahagian solat jamak:

(a)    Solat jamak takdim – Menunaikan kedua-dua solat fardu dalam waktu solat yang pertama.

-        Syarat-syaratnya:

i.                 Melaksanakan solat mengikut turutan.

ii.                Niat jamak dalam solat pertama. Tempohnya dari takbiratul ihram hingga sebelum selesai salam pertama.

iii.               Segera melaksanakan solat kedua selepas salam solat pertama. Tidak boleh diselangi ibadat lain seperti zikir atau solat sunat.

iv.               Berkekalan musafir hingga selesai salam solat kedua.

(b)   Solat jamak takhir – Menunaikan kedua-dua solat fardu dalam waktu solat yang kedua.

-        Syarat-syaratnya:

i.                 Niat jamak dalam waktu pertama.

ii.                Masih bermusafir sehingga selesai solat ditunaikan.

3 Ringkasan solat jamak takdim dan solat jamak takhir:

(a)    Jamak takdim:

-        Solat Zohor dan Asar, dikerjakan dalam waktu Zohor.

-        Solat Maghrib dan Isyak, dikerjakan dalam waktu Maghrib.

(b)   Jamak takhir:

-        Solat Zohor dan Asar, dikerjakan dalam waktu Asar.

-        Solat Maghrib dan Isyak, dikerjakan dalam waktu Isyak.

 

Maksud Dan Syarat Solat Qasar

1 Solat qasar ialah memendekkan solat fardu empat rakaat kepada dua rakaat.

2 Syarat-syaratnya:

(a)    Dilakukan ketika sedang bermusafir.

(b)   Melepasi sempadan kawasan tempat tinggal.

(c)    Tidak berniat menetap lebih tiga hari, tidak termasuk hari perjalanan pergi dan balik.

(d)   Tidak mengikut imam yang bermukim atau imam yang solat sempurna empat rakaat.

 

Syarat Perjalanan Yang Diharuskan Solat Jamak Dan Qasar

1 Mengetahui destinasi yang dituju.

2 Perjalanan sehala melebihi 81 kilometer.

3 Bukan bertujuan melakukan maksiat.

 

Cara Menunaikan Solat Jamak Dan Qasar

1 Wajib niat dalam hati dan sunat melafazkannya.

2 Contoh lafaz niat:

(a)    Solat pertama:

(b)   Solat kedua:

3 Solat jamak takdim, waktunya dalam waktu pertama iaitu waktu Zohor atau Maghrib.

(a)    Dahulukan solat yang waktunya terdahulu iaitu Zohor atau Maghrib.

(b)   Diikuti solat yang waktunya terkemudian iaitu Asar atau Isyak.

(c)    Bilangan rakaat:

-        Jamak takdim Zohor dan Asar:

i.                 Zohor dua rakaat.

ii.                Asar dua rakaat.

-        Jamak takdim Maghrib dan Isyak:

i.                 Maghrib tiga rakaat.

ii.                Isyak dua rakaat.

4 Solat jamak takhir, waktunya dalam waktu kedua iaitu waktu Asar atau Isyak.

(a)    Boleh mendahulukan mana-mana satu daripada dua solat yang dijamakkan.

(b)   Solat yang waktunya terdahulu iaitu Zohor atau Maghrib kerana waktunya lebih dahulu mengikut urutan.

(c)    Solat yang waktunya terkemudian iaitu Asar atau Isyak kerana ia memang adalah waktu solat yang berkenaan.

(d)   Bilangan rakaat:

-        Jamak takhir Asar dan Zohor:

i.                 Asar dua rakaat.

ii.                Zohor dua rakaat.

-        Jamak takhir Isyak dan Maghrib:

i.                 Isyak dua rakaat.

ii.                Maghrib tiga rakaat.

 

 

 

UNIT 3 : SOLAT KETIKA SAKIT

 

Maksud Solat Ketika Sakit

1 Solat ketika sakit ialah solat yang dilaksanakan oleh pesakit yang tidak dapat menyempurnakan sebahagian rukun solat dengan sempurna.

2 Solat ketika sakit dikerjakan mengikut kemampuan pesakit berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain RA yang menghidap penyakit buasir lalu bertanya kepada Rasulullah SAW tentang cara solat, sabda baginda:

Maksud: Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu, maka solatlah dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu, maka solatlah dalam keadaan mengiring.

 

Cara Solat Ketika Sakit – Solat Secara Berdiri Bagi Orang Yang Tidak Mampu Rukuk Dan Sujud

1 Berdiri merupakan rukun bagi solat fardu.

2 Tidak sah solat secara duduk bagi orang yang mampu berdiri.

3 Dalam keadaan seseorang yang tidak mampu rukuk dan sujud seperti biasa, solat dilakukan mengikut kaifiat yang berikut:

(a)    Takbiratul ihram, bacaan al-Fatihah, iktidal dan salam disempurnakan seperti biasa.

(b)   Rukuk.

-        Rukuk seperti biasa.

-        Jika tidak mampu, tundukkan badan sehingga dua tangan dapat mencapai kedua-dua lutut.

-        Jika tidak mampu, boleh dilakukan dengan isyarat kepala.

-        Jika tidak mampu, boleh dilakukan dengan isyarat mata.

-        Jika tidak mampu, boleh dilakukan di dalam hati.

(c)    Sujud.

-        Sujud seperti biasa.

-        Jika tidak mampu, tundukkan badan melebihi kadar rukuk dan menghampirkan dahi semampu mungkin ke tempat sujud sama ada secara berdiri atau duduk.

-        Jika tidak mampu, boleh dilakukan dengan isyarat kepala.

-        Jika tidak mampu, boleh dilakukan dengan isyarat mata.

-        Jika tidak mampu, boleh dilakukan di dalam hati.

(d)   Duduk di antara dua sujud.

-        Dilaksanakan secara berdiri bagi yang berdiri atau seperti biasa bagi yang duduk atau duduk mengikut kemampuan seperti duduk bersila.

(e)    Tasyahud akhir.

-        Jika tidak mampu duduk, tasyahud boleh dilaksanakan mengikut kemampuan pesakit.

 

Cara Solat Ketika Sakit – Solat Secara Duduk

1 Solat secara duduk boleh dilaksanakan mengikut kemampuan seperti yang berikut:

(a)    Duduk iftirasy, iaitu duduk di antara dua sujud.

(b)   Duduk di atas kerusi atau di tepi katil.

(c)    Duduk dengan kaki berlunjur ke arah kiblat.

(d)   Duduk bersila atau cara-cara lain mengikut kemampuan.

2 Kaifiat solat secara duduk iaitu:

(a)    Mulakan solat dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu, boleh terus memulakan solat dengan duduk mengikut kemampuan.

(b)   Takbiratul ihram, bacaan al-Fatihah, iktidal, duduk di antara dua sujud dan duduk tasyahud dilaksanakan dalam keadaan badan tegak.

(c)    Rukuk.

-        Tundukkan kepala sehingga kedudukan dahi setentang dengan tempat sujud.

-        Jika tidak mampu, sekurang-kurangnya kedudukan dahi melepasi paras lutut.

-        Jika tidak mampu, tundukkan badan sekadar kemampuan.

(d)   Sujud.

-        Sujud seperti biasa.

-        Jika tidak mampu, sekurang-kurangnya tundukkan badan lebih rendah berbanding rukuk.

-        Jika tidak mampu, tundukkan badan sekadar kemampuan.

(e)    Tasyahud akhir.

-        Sunat duduk tasyahud akhir secara tawarruk, iaitu seperti biasa.

-        Jika tidak mampu, duduklah mengikut kemampuan.

 

Cara Solat Ketika Sakit – Solat Secara Mengiring

1 Solat secara mengiring dilaksanakan mengikut kaifiat berikut:

(a)    Pesakit mengiringkan badannya di atas rusuk kanan. Jika tidak mampu, boleh mengiring di atas rusuk kiri. Muka dan dada dihadapkan ke arah kiblat.

(b)   Bacaan al-Fatihah, iktidal, duduk di antara dua sujud dan duduk tasyahud dilaksanakan dalam keadaan badan pesakit mengiring.

(c)    Rukuk.

-        Dilaksanakan dengan menundukkan sedikit kepala.

(d)   Sujud.

-        Dilaksanakan dengan menundukkan kepala melebihi kadar rukuk.

-        Jika tidak mampu, tundukkan sekadar kemampuan.

-        Jika tidak mampu, gunakan isyarat mata.

-        Jika tidak mampu, boleh dilakukan di dalam hati.

 

Cara Solat Ketika Sakit – Solat Secara Menelentang

1 Kaifiat solat yang dilakukan secara menelentang adalah seperti berikut:

(a)    Pesakit berada dalam keadaan menelentang dengan kepala diangkat sedikit agar mukanya dapat menghadap kiblat dan kakinya pula melunjur ke arah yang sama, iaitu kiblat.

(b)   Solat dilakukan dengan isyarat kepala.

-        Rukuk dilakukan dengan menundukkan sedikit kepala.

-        Sujud dilakukan dengan menundukkan kepala melebihi kadar rukuk.

(c)    Jika tidak mampu menundukkan kepala, gunakan isyarat mata.

-        Rukuk dilakukan dengan menutup separuh kelopak mata.

-        Sujud dilakukan dengan menutup seluruh kelopak mata atau memejamkan mata.

(d)   Jika tidak mampu menggunakan isyarat mata, solat boleh dilakukan di dalam hati.

 

 

 


0 komen:

Post a Comment