Tuesday 28 March 2023

NOTA T2P27 – SANTUNI JIRANMU

T2P27 – SANTUNI JIRANMU

 

Maksud Jiran

1 Jiran dari segi bahasa ialah orang yang berada di sekeliling. Maksudnya dari segi istilah pula ialah orang yang tinggal berdekatan sehingga empat puluh buah rumah dari setiap penjuru.

 

Dalil Nakli Galakan Menghormati Jiran

1 Firman Allah SWT:

(Surah al-Nisaa : Ayat 36)

Maksud: Hendaklah kamu beribadah kepada Allah SWT, janganlah kamu mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu. Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan yang jauh. Rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.

 

2 Sabda Rasulullah SAW:

Maksud: Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka dia hendaklah memuliakan jirannya.

 

Adab Berjiran Amalan Rasulullah SAW

1 Contoh adab berjiran yang diamalkan oleh Rasulullah SAW:

(a)    Melayan jiran dengan baik walaupun bukan Islam.

(b)   Meminta tetamu memberi salam di sisi pintu supaya tidak ternampak aib di dalam rumah.

(c)    Menyuruh Abu Dzar membanyakkan kuah ketika memasak untuk diberikan kepada jiran.

(d)   Meminta agar jiran diberi keutamaan dalam jual beli dengan menawarkan kepadanya terlebih dahulu.

(e)    Memberikan hadiah dan makanan kepada jiran.

 

Hak Dan Kewajipan Terhadap Jiran

1 Terdapat tiga kategori jiran dalam Islam:

(a)    Jiran muslim dan kerabat.

-        Tiga hak terhadap mereka:

i.                 Hak sebagai muslim.

ii.                Hak sebagai kerabat.

iii.               Hak sebagai jiran.

(b)   Jiran muslim yang bukan kerabat

-        Dua hak terhadap mereka:

i.                 Hak sebagai muslim.

ii.                Hak sebagai jiran.

(c)    Jiran bukan muslim.

-        Satu hak terhadap mereka:

i.                 Hak sebagai jiran.

2 Antara kewajipan terhadap jiran:

(a)    Mendapat ketenangan, keselesaan dan keselamatan seperti memanggil jiran dengan suara yang sesuai.

(b)   Memberi nasihat, mengajak jiran membuat perkara yang baik dan mencegah perkara mungkar.

(c)    Mengambil berat terhadap penderitaan yang ditanggung oleh jiran.

(d)   Tidak mengintai aurat jiran.

(e)    Menjaga rumah jiran ketika ketiadaannya.

 

Kewajipan Berjiran Yang Perlu Diamalkan Dalam Kehidupan Harian

1 Antara adab untuk menjaga hubungan baik sesama jiran:

(a)    Bertegur sapa.

(b)   Menggembirakan jiran dan mengucapkan tahniah apabila mereka mendapat nikmat.

(c)     Berbuat baik dan tidak menyakiti.

(d)   Menjaga harta benda jiran dan meminta izin jika hendak menggunakannya.

(e)    Saling memberi hadiah.

(f)     Menghormati antara satu sama lain.

(g)    Tidak berhasad dengki dengan kelebihan jiran.

(h)   Berbicara mengikut keperluan.

(i)     Menjaga maruah diri dan tidak mengumpat antara satu sama lain.

(j)     Memastikan jiran selesa dan aman.

(k)    Melahirkan simpati terhadap kesusahan jiran.

 

Hikmah Mengamalkan Adab Berjiran Dalam Kehidupan

1 Hidup aman dan damai kerana masing-masing mengamalkan tanggungjawab yang sewajarnya seperti membantu ketika diperlukan.

2 Maruah diri dan keluarga terjaga kerana tidak ada sifat bersangka buruk antara jiran tetangga.

3 Sentiasa berasa selamat dan selesa hidup berjiran kerana saling menghormati dan menjaga keselamatan seperti membuat rondaan berkala secara bergilir-gilir.

4 Kemungkaran mudah dicegah dengan mengukuhkan hubungan silaturrahim antara jiran.

5 Masyarakat yang bersatu padu dan hormat-menghormati dapat dilahirkan.

6 Keamanan dan keharmonian dapat dinikmati kerana semua rakyat memahami tanggungjawab masing-masing seperti bertegur sapa apabila bertemu dan tidak menyebarkan fitnah.

 

 

0 komen:

Post a Comment