Tuesday 7 April 2020

NOTA KBSM - T5P10 - AKIDAH AHLI SUNNAH WALJAMAAH

NOTA PENDIDIKAN ISLAM KBSM


TINGKATAN : TINGKATAN LIMA
BIDANG : AKIDAH
TAJUK : T5P10 – AKIDAH AHLI SUNNAH WALJAMAAH



TAKRIF AHLI SUNNAH WALJAMAAH
Ahli Sunnah Waljamaah ialah kumpulan yang berpegang teguh dengan al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan perkara yang dibawa oleh para sahabat baginda serta menentang perkara-perkara bidaah.
Mereka juga dikenali sebagai Ahlus Sunnah, al-Jamaah, al-Salafu al-Soleh dan Ahlul Hadis.


KEMUNCULAN NAMA AHLI SUNNAH WALJAMAAH
Ia muncul setelah berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam. Nama tersebut secara rasminya dimasyhurkan oleh Imam Abu Hassan al-Asyari dan Abu Mansur al-Maturidi.
Nama Ahli Sunnah Waljamaah adalah gabungan daripada perkataan ahlu, al-Sunnah dan al-Jamaah. Dinamakan dengan Ahli Sunnah kerana mereka menerima dan beramal dengan sunnah Rasulullah SAW. Manakala perkataan al-Jamaah ialah kerana mereka berkumpul di atas kebenaran dan bersatu untuk berjihad, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar serta menghidupkan sunnah dan menentang perkara-perkara bidaah.


PRINSIP-PRINSIP AKIDAH AHLI SUNNAH WALJAMAAH
Prinsip-prinsip akidah Ahli Sunnah Waljamaah ialah:
a) Berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah
b) Berpegang dengan prinsip-prinsip al-Salafu al-Soleh
c) Apabila terdapat pertelingkahan pandangan, mereka merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah
d) Mereka tidak mencela dan mengkafirkan orang yang tidak sealiran dengan mereka
e) Mereka tidak menghukum kecuali terdapat bukti yang sahih


PANDANGAN AHLI SUNNAH WALJAMAAH TERHADAP BEBERAPA ISU
Berikut ialah Ahli Sunnah Waljamaah terhadap beberapa isu:
(     a) Al-Quran bukan makhluk
Mereka meyakini bahawa al-Quran adalah kalam Allah yang bersifat qadim dan bukan makhluk iaitu bukan baharu.

(     b) Rukyatullah (melihat Allah)
Ahli Sunnah Waljamaah berpandangan bahawa orang mukmin dapat melihat Allah di syurga pada hari kiamat.

(     c) Pelaku dosa besar
Orang yang melakukan dosa besar tetap dikira sebagai mukmin kerana imannya masih ada tetapi dikira fasik kerana telah melakukan dosa besar.

(    d) Iman bertambah dan berkurang
Mereka beriktikad bahawa iman seseorang boleh bertambah dan berkurang. Ia boleh bertambah apabila seseorang melakukan ketaatan kepada Allah manakala ia akan berkurang apabila seseorang melakukan maksiat dan kejahatan.

(    e) Qadak dan qadar
Ahli Sunnah Waljamaah beriktikad bahawa ketentuan iaitu qadar dan segala perkara yang berlaku iaitu qadak di alam ini terjadi dengan kebijaksanaan Allah sejak azali lagi. Semua perkara baik atau buruk adalah ketentuan Allah SWT.


KEPENTINGAN BERPEGANG DENGAN AKIDAH AHLI SUNNAH WALJAMAAH
Antara kepentingan berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah ialah:
a) Dapat membersihkan akidah daripada sebarang kekeliruan dan kesesatan
Akidah Ahli Sunnah Waljaamh adalah berdasarkan sumber-sumber yang sahih iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

b) Asas penerimaan kepada sesuatu amalan
Akidah yang betul merupakan asas penerimaan sesuatu amalan oleh Allah SWT. Amalan yang tidak berteraskan akidah yang benar ditolak oleh Allah SWT.

c) Hidup diredai Allah
Orang yang berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah akan diredai oleh Allah SWT kerana mereka berada di jalan yang benar.


MAZHAB SYIAH DAN KHAWARIJ
1 Syiah – Syiah ialah golongan yang mendokong cita-cita untuk menjadikan Saidina Ali sebagai khalifah Rasulullah SAW. Mereka berpendapat bahawa Saidina Ali sahajalah yang layak dan berhak dilantik menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Secara umumnya, syiah terbahagi kepada tiga kumpulan utama, iaitu:
a) Syiah Imamiah
Dinamakan sebagai Syiah Imamiah kerana berpendapat jawatan pemimpin umat Islam iaitu imam hanya layak disandang oleh ahlul bait. Pegangan mereka yang berbeza dengan Ahli Sunnah Waljamaah ialah:
i) Beriktikad jawatan imam adalah jawatan yang dianugerahkan oleh Allah seperti kenabian. Imam-imam tersebut dianggap maksum tetapi tidak mendapat wahyu. Jawatan ini hanya layak disandang oleh dua belas imam daripada kalangan ahlul bait mengikut urutan. Setiap imam akan menamakan seseorang sebagai penggantinya. Berdasarkan pandangan ini, mereka juga dikenali dengan nama Syiah Ithna Asyariah yang bermaksud Syiah Dua Belas.
ii) Menolak hadis yang bukan diriwayatkan oleh ahlul bait.
iii) Beriktikad bahawa imam kedua belas mereka iaitu Muhammad al-Mahdi al-Qaim Bilhujjah akan muncul sebagai Imam Mahdi.
iv) Beramal dengan taqiah iaitu menyembunyikan iktikad sebenar mereka apabila berhadapan dengan orang yang berbeza iktikad dengan mereka.
v) Mengharuskan perkahwinan mut’ah iaitu nikah sementara waktu atau nikah kontrak.

b) Syiah Zaidiah
Syiah Zaidiah adalah sempena nama pengasasnya iaitu Zaid bin Ali bin Zainal Abidin, cicit kepada Ali bin Abi Talib. Pegangan mereka yang berbeza dengan Ahli Sunnah Waljamaah ialah:
i) Beriktikad kedudukan pelaku dosa besar berada di antara keimanan dan kekufuran.
ii) Beriktikad bahawa perbuatan manusia adalah dilakukan oleh manusia bukan Allah.
Walaubagaimanapun, mereka menolak beberapa pegangan syiah yang lain seperti kemaksuman para imam kecuali Ali, Fatimah, al-Hasan dan al-Husain. Mereka juga menolak taqiah dan kepercayaan bahawa Muhammad al-Mahdi al-Qaim Bilhujjah sebagai Imam Mahdi.

c) Syiah Batiniah
Dinamakan demikian kerana pandangan mereka yang menganggap bahawa al-Quran mempunyai makna zahir dan batin yang hanya difahami oleh imam mereka. Mereka merupakan kumpulan syiah yang paling radikal dan sesat. Pandangan mereka yang utama ialah:
i) Beriktikad bahawa Ali dan imam-imam mereka yang lain sebagai tuhan.
ii) Beriktikad bahawa imam mereka Muhammad bin al-Hanafiah masih hidup.
iii) Menghalalkan beberapa kemungkaran seperti minum arak.

2 Khawarij – Khawarij ialah golongan penyokong Saidina Ali yang berjuang menentang Muawiyah RA tetapi tidak menerima majlis tahkim. Mereka belot daripada menyokong Saidina Ali kerana memprotes kesediaan Saidina Ali menerima keputusan majlis tahkim yang memihak kepada Muawiyah.
Antara pegangan mereka ialah:
i) Beriktikad bahawa pelaku dosa besar adalah kafir.
ii) Mengkafirkan serta menghalalkan darah semua umat Islam yang berbeza iktikad dengan mereka.
iii) Membataskan sumber syariat hanya kepada al-Quran sahaja.


LANGKAH-LANGKAH MEMELIHARA AKIDAH
Berikut adalah langkah-langkah memelihara akidah:
a) Mempelajari asas akidah berdasarkan kitab Ahli Sunnah Waljamaah yang muktabar
b) Belajar daripada guru yang diiktiraf keilmuannya dalam bidang akidah
c) Membina ketahanan akidah dengan berdoa
d) Menjauhkan diri daripada orang yang mengamalkan ajaran sesat
e) Menunaikan perintah Allah dan meninggalkan larangannya


ISTILAH-ISTILAH ASAS DALAM ILMU AKIDAH
Kafir
Orang yang mengingkari salah satu daripada prinsip akidah yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis
Musyrik
Orang yang menyekutukan Allah dengan sesuatu atau menyamakan sesuatu dengan Allah pada zat, sifat atau perbuatan
Munafik
Orang yang menzahirkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran di dalam hati
Fasik
Orang yang tidak taat kepada Allah dan rasulNya dengan melakukan dosa besar atau berterusan melakukan dosa kecil
Murtad
Orang yang keluar daripada agama Islam sama ada dengan perkataan, perbuatan atau iktikad
Mulhid
Orang yang tidak beragama atau dikenali sebagai atheis



Muat turun di sini :




Pautan lain siri ini :

>>> T5P9 - Iman Mutiara Hidup



0 komen:

Post a Comment