Tuesday 7 April 2020

NOTA KBSM - T5P11 - AJARAN SESAT

NOTA PENDIDIKAN ISLAM KBSM


TINGKATAN : TINGKATAN LIMA
BIDANG : AKIDAH
TAJUK : T5P11 – AJARAN SESAT



PENGERTIAN AJARAN SESAT
Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan hakikatnya bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Orang yang membawa ajaran sesat menyelewengkan beberapa asas akidah penganutnya hingga menyebabkan akidah terbatal dan terkeluar daripada Islam.


CIRI-CIRI AJARAN SESAT
Antara ciri-ciri ajaran sesat ialah:
a) Mencemarkan kesucian al-Quran dan hadis seperti memansuh, mengubah, mempertikai atau membuat tafsiran yang menyeleweng terhadap al-Quran dan hadis. Contohnya, kumpulan Bahai beriktikad bahawa kitabnya iaitu al-Bayan memansuhkan semua kitab samawi.
b) Mengubah prinsip-prinsip asas dalam akidah Islam seperti mendakwa menyatukan semua agama termasuk Islam ke dalam agama baru atau mendakwa semua agama adalah sama sebagaimana ajaran Bahai.
c) Mendewa-dewakan pemimpin sehingga menganggapnya bersifat maksum, sebagai al-Mahdi, sebagai nabi, sebagai tuhan atau jelmaan tuhan sebagaimana ajaran Qadiani.
d) Menolak perkara yang qat’ie dalam Islam seperti menghapuskan jihad sebagaimana ajaran Qadiani dan Bahai.
e) Mengubah bentuk-bentuk ibadah seperti mengurangkan ibadah puasa kepada 19 hari dan bersolat hanya dengan niat sebagaimana ajaran Bahai.
f) Mengubah konsep dosa dan pahala seperti memberi kuasa penebusan dosa kepada seseorang seperti ajaran Tarekat al-Mufarridiah.
g) Mendakwa boleh melakukan perkara pelik yang bersangkutan dengan perkara-perkar ghaib seperti memanggil roh orang mati termasuk roh para nabi serta wali Allah dan malaikat.
h) Mendewa-dewakan sesuatu selain Allah seperti menyeru nama orang-orang yang telah meninggal dunia dalam doa atau jampinya sebagaimana yang dilakukan oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam.
i) Menolak hadis mutawatir atau hadis secara umum seperti golongan anti hadis.


KESAN BURUK MENGAMALKAN AJARAN SESAT
Mengamalkan ajaran sesat mendatangkan kesan buruk terhadap individu, masyarakat dan negara, iaitu:
a) Individu
i) Rosak akidah – Orang Islam yang percaya atau beramal dengan ajaran sesat boleh rosak akidah. Mereka wajib bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
ii) Masa terbuang –Masa terbuang melakukan perkara bertentangan dengan Islam seperti memuja, melakukan amalan syirik dan khurafat.
iii) Minda tertutup – Pemikiran mereka terkongkong oleh pemimpin yang mendakwa mendapat wahyu. Tindakan dan kelakuan menjadi tidak rasional dan fanatik.
iv) Kehidupan tidak stabil – Pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu atau bapa akan berlaku kerna keterlibatan dalam ajaran sesat.

b) Masyarakat
i) Keruntuhan institusi kekeluargaan – Perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka akan menyebabkan keretakan dalam rumahtangga.
ii) Perpaduan tergugat – Sikap fanatik terhadap kumpulan dan pemimpin ajaran sesat menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling. Ini boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam hidup bermasyarakat.
iii) Berlaku keganasan – Kepatuhan membuta tuli kepada pemimpin ajaran sesat memudahkan pengikutnya dipergunakan untuk melakukan keganasan.

c) Negara
i) Mundur – Individu dalam sesebuah negara akan jadi tidak pro-aktif dan membuang masa seterusnya menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan setiap individu.
ii) Tidak stabil – Perpaduan dan keharmonian masyarakat akan terancam yang boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan masa dan perbelanjaan yang banyak untuk mengekalkan kestabilan negara.


LANGKAH-LANGKAH MENANGANI AJARAN SESAT
Berikut ialah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani ajaran sesat:
a) Melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar
Pengaruh ajaran sesat dapat ditangkis dengan kefahaman Islam yang sebenar melalui proses pembelajaran secara formal atau tidak formal.
b) Menyebarkan ajaran Islam
Masyarakat hendaklah sentiasa didedahkan dengan ajaran Islam yang sebenar melalui pelbagai kaedah seperti media cetak dan elektronik, ceramah, seminar, forum dan simposium.
c) Kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang
Penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu antara semua pihak akan dapat membendung kegiatan ajaran sesat daripada terus menular dalam masyarakat.
d) Program pemulihan akidah
Program ini amat diperlukan oleh mereka yang terlibat dengan ajaran sesat. Di Malaysia, terdapat beberapa buah pusat pemulihan akidah seperti Pusat Pemulihan Akidah Jelebu, Negeri Sembilan dan Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam, Selangor.


CONTOH-CONTOH AJARAN SESAT
1 Qadiani
Pengasas : Mirza Ghulam Ahmad (meninggal dunia tahun 1908M)
Asal nama Qadiani : Sempena tempat lahir pengasasnya iaitu Qadian, sebuah kampung di daerah Gusdarfur, India.
Tahun kemunculan ajaran : Tahun 1889M
Dibawa ke Malaysia : Tahun 1949M oleh Maulana Muhammad Sadiq bin Barakatullah
Ciri-ciri kesesatan ajaran Qadiani:
a) Beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad sebagai al-Mahdi, nabi dan jelmaan Krishna, iaitu tuhan dalam agama hindu.
b) Beriktikad bahawa Allah menurunkan kepada Mirza Ghulam Ahmad sebuah kitab suci yang bernama al-Tazkirah.
c) Beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad mempunyai sejuta jenis mukjizat.
d) Menghapuskan jihad.
e) Mengubah ayat al-Quran seperti ayat 6 surah as-Saff, ayat 52 surah al-Hajj dan ayat pertama surah al-Qadr.
f) Mendakwa malaikat sebagai pancaindera Allah.
g) Mengisytiharkan Qadian sebagai tanah suci dan tempat menunaikan haji.
h) Mendakwa bahawa nabi Isa meninggal dunia dan dimakamkan di Srinagar, India.
i) Menghukum kafir selain penganut Qadiani.


2 Bahai
Pengasas : Husain Ali al-Mazandarani (meninggal dunia tahun 1309H / 1892M)
Asal nama Bahai : Sempena nama pengasasnya yang digelar Bahaullah. Ia adalah lanjutan kepada ajaran al-Babiah yang diasaskan oleh Ali Muhammad al-Syirazi (meninggal dunia tahun 1277H / 1850M)
Tahun kemunculan ajaran : Tahun 1847M di Iran.
Dibawa ke Malaysia : Tahun 1953M oleh Yan Kee Leong
Ciri-ciri kesesatan ajaran Bahai:
a) Beriktikad bahawa pengasasnya adalah jelmaan Allah.
b) Beriktikad bahawa semua agama adalah sama dan digabungkan dalam ajaran Bahai.
c) Beriktikad bahawa alam ini bersifat baqa’ iaitu kekal.
d) Beriktikad bahawa nabi Isa mati disalib.
e) Mengagungkan kod 19 hingga al-Quran dipengaruhi oleh kod tersebut.
f) Menolak kewujudan mukjizat, malaikat, syurga dan neraka.
g) Memansuhkan agama Islam.
h) Menganggap Acre di Palestin sebagai kiblat baru.
i) Mengubah bentuk-bentuk ibadah seperti puasa 19 hari, solat sebanyak 9 rakaat 3 kali sehari dan berwudhuk dengan air mawar atau diganti degan bacaan Bismillah al-athar 5 kali.
j) Menghapuskan jihad.


3 Taslim
Pengasas : Haji Muhammad bin Syafieatau lebih dikenali dengan nama Haji Muhammad Matahari (meninggal dunia tahun 1908M)
Tahun kemunculan ajaran : Tahun 1870-an di Kampung Seronok Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Merupakan ajaran sesat yang paling tua di Malaysia dan mempunyai persamaan dengan kepercayaan Syiah Ismailiah Batiniah.
Ciri-ciri kesesatan ajaran Taslim:
a) Beriktikad bahawa diri batin manusia ialah Allah dan diri zahir manusia ialah nur Muhammad.
b) Beriktikad bahawa alam bersifat qadim.
c) Mentafsir ayat-ayat al-Quran mengikut hawa nafsu.
d) Mengharuskan perzinaan melalui konsep nikah batin.
e) Menolak kewujudan hari kiamat, syurga dan neraka.
f) Solat secara niat tanpa rukun qauli dan fi’li.
g) Menganggap Haji Muhammad Matahari sebagai pemimpin yang maksum.



Muat turun di sini :




0 komen:

Post a Comment