Wednesday 29 March 2023

NOTA T2P28 – MASJID DESTINASIKU

T2P28 – MASJID DESTINASIKU

 

Maksud Masjid

1 Masjid dari segi bahasa ialah tempat sujud, diambil daripada perkataan arab sajada. Maksudnya dari segi istilah pula ialah tempat yang dibina khusus untuk solat lima waktu dan solat sunat bagi orang Islam.

 

Dalil Nakli Adab Di Masjid

1 Firman Allah SWT:

(Surah al-Taubah : Ayat 18)

Maksud: Sesungguhnya yang (layak) memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah SWT ialah orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat. Tidak takut melainkan kepada Allah SWT (dengan adanya sifat tersebut) maka diharapkan mereka menjadi golongan orang yang mendapat petunjuk.

 

2 Sabda Rasulullah SAW:

Maksud: Apabila seseorang daripada kamu memasuki masjid, maka tunaikanlah solat dua rakaat sebelum kamu duduk.

 

Adab Di Masjid

1 Ketika masuk ke masjid:

(a)    Sunat membaca doa masuk masjid:

Maksud: Ya Allah, bukakanlah pintu rahmat-Mu kepadaku.

(b)   Membaca selawat ketika melihat masjid.

(c)    Mendahulukan kaki kanan.

(d)   Tidak membawa sesuatu yang berbau sehingga mengganggu keselesaan jemaah lain.

2 Ketika berada di dalam masjid:

(a)    Menunaikan solat tahiyyatul masjid.

(b)   Niat beriktikaf selepas selesai solat sunat tahiyyatul masjid.

(c)    Duduk dengan tertib menghadap kiblat.

(d)   Menjaga ketenteraman masjid.

(e)    Berzikir, membaca al-Quran, menuntut ilmu dan berselawat.

(f)     Memperkatakan sesuatu yang berfaedah.

3 Ketika keluar dari masjid:

(a)    Sunat membaca doa keluar masjid:

Maksud: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, berikanlah kelebihan kepadaku.

(b)   Memulakan langkah dengan kaki kiri.

(c)    Memberi salam kepada mereka yang berada di dalam atau berhampiran pintu masjid (mengikut keadaan).

 

Hikmah Beradab Di Masjid

1 Dapat menenangkan akal fikiran kerana semua orang menjaga adab masing-masing.

2 Merasai ketenangan jiwa kerana masing-masing menumpukan sepenuh hati beribadah kepada Allah SWT.

3 Mengeratkan persaudaraan sesama Islam dan timbul perasaan mahabbah kerana memenuhi tuntutan agama.

4 Dapat melaksanakan ibadah dengan selesa dan khusyuk apabila suasana persekitaran tenteram.

5 Memperkasakan fungsi masjid yang lebih meluas dan dapat digunakan untuk kepentingan umat serta meningkatkan syiar Islam.

6 Kembali kepada ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Baginda membina dan memakmurkan masjid di mana-mana sahaja baginda berada.

 

Cara Mengimarahkan Masjid

1 Masjid merupakan syiar dan menjadi hak bersama masyarakat Islam.

2 Semua individu muslim perlu melibatkan diri dalam aktiviti yang diadakan di masjid.

3 Antara cara mengimarahkan masjid:

(a)    Menunaikan solat fardhu berjemaah setiap waktu dan berazam untuk datang lagi ke masjid.

(b)   Sebagai tempat belajar al-Quran, tafsir, berzikir, beriktikaf dan pelbagai ibadah lain mengikut keperluan dan kehendak sendiri.

(c)    Mewujudkan bilik bagi musafir agar dapat menggalakkan lebih ramai yang datang ke masjid.

(d)   Mengadakan pelbagai aktiviti untuk menarik minat semua lapisan masyarakat seperti sukan dan riadah.

Tuesday 28 March 2023

NOTA T2P27 – SANTUNI JIRANMU

T2P27 – SANTUNI JIRANMU

 

Maksud Jiran

1 Jiran dari segi bahasa ialah orang yang berada di sekeliling. Maksudnya dari segi istilah pula ialah orang yang tinggal berdekatan sehingga empat puluh buah rumah dari setiap penjuru.

 

Dalil Nakli Galakan Menghormati Jiran

1 Firman Allah SWT:

(Surah al-Nisaa : Ayat 36)

Maksud: Hendaklah kamu beribadah kepada Allah SWT, janganlah kamu mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu. Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan yang jauh. Rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.

 

2 Sabda Rasulullah SAW:

Maksud: Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka dia hendaklah memuliakan jirannya.

 

Adab Berjiran Amalan Rasulullah SAW

1 Contoh adab berjiran yang diamalkan oleh Rasulullah SAW:

(a)    Melayan jiran dengan baik walaupun bukan Islam.

(b)   Meminta tetamu memberi salam di sisi pintu supaya tidak ternampak aib di dalam rumah.

(c)    Menyuruh Abu Dzar membanyakkan kuah ketika memasak untuk diberikan kepada jiran.

(d)   Meminta agar jiran diberi keutamaan dalam jual beli dengan menawarkan kepadanya terlebih dahulu.

(e)    Memberikan hadiah dan makanan kepada jiran.

 

Hak Dan Kewajipan Terhadap Jiran

1 Terdapat tiga kategori jiran dalam Islam:

(a)    Jiran muslim dan kerabat.

-        Tiga hak terhadap mereka:

i.                 Hak sebagai muslim.

ii.                Hak sebagai kerabat.

iii.               Hak sebagai jiran.

(b)   Jiran muslim yang bukan kerabat

-        Dua hak terhadap mereka:

i.                 Hak sebagai muslim.

ii.                Hak sebagai jiran.

(c)    Jiran bukan muslim.

-        Satu hak terhadap mereka:

i.                 Hak sebagai jiran.

2 Antara kewajipan terhadap jiran:

(a)    Mendapat ketenangan, keselesaan dan keselamatan seperti memanggil jiran dengan suara yang sesuai.

(b)   Memberi nasihat, mengajak jiran membuat perkara yang baik dan mencegah perkara mungkar.

(c)    Mengambil berat terhadap penderitaan yang ditanggung oleh jiran.

(d)   Tidak mengintai aurat jiran.

(e)    Menjaga rumah jiran ketika ketiadaannya.

 

Kewajipan Berjiran Yang Perlu Diamalkan Dalam Kehidupan Harian

1 Antara adab untuk menjaga hubungan baik sesama jiran:

(a)    Bertegur sapa.

(b)   Menggembirakan jiran dan mengucapkan tahniah apabila mereka mendapat nikmat.

(c)     Berbuat baik dan tidak menyakiti.

(d)   Menjaga harta benda jiran dan meminta izin jika hendak menggunakannya.

(e)    Saling memberi hadiah.

(f)     Menghormati antara satu sama lain.

(g)    Tidak berhasad dengki dengan kelebihan jiran.

(h)   Berbicara mengikut keperluan.

(i)     Menjaga maruah diri dan tidak mengumpat antara satu sama lain.

(j)     Memastikan jiran selesa dan aman.

(k)    Melahirkan simpati terhadap kesusahan jiran.

 

Hikmah Mengamalkan Adab Berjiran Dalam Kehidupan

1 Hidup aman dan damai kerana masing-masing mengamalkan tanggungjawab yang sewajarnya seperti membantu ketika diperlukan.

2 Maruah diri dan keluarga terjaga kerana tidak ada sifat bersangka buruk antara jiran tetangga.

3 Sentiasa berasa selamat dan selesa hidup berjiran kerana saling menghormati dan menjaga keselamatan seperti membuat rondaan berkala secara bergilir-gilir.

4 Kemungkaran mudah dicegah dengan mengukuhkan hubungan silaturrahim antara jiran.

5 Masyarakat yang bersatu padu dan hormat-menghormati dapat dilahirkan.

6 Keamanan dan keharmonian dapat dinikmati kerana semua rakyat memahami tanggungjawab masing-masing seperti bertegur sapa apabila bertemu dan tidak menyebarkan fitnah.

 

 

Monday 27 March 2023

NOTA T2P26 – MULIAKAN IBU BAPA BAHAGIAKAN KELUARGA

T2P26 – MULIAKAN IBU BAPA BAHAGIAKAN KELUARGA

 

Dalil Nakli Kewajipan Beradab Kepada Ibu Bapa

1 Firman Allah SWT:

(Surah al-Nisa : Ayat 36)

Maksud: Hendaklah kamu beribadah kepada Allah SWT, janganlah kamu mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu. Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.

 

2 Sabda Rasulullah SAW:

Maksud: Reda tuhan (Allah SWT) terletak pada reda ibu bapa dan kemurkaan tuhan (Allah SWT) terletak pada kemarahan ibu bapa.

 

Cara Beradab Kepada Ibu Bapa Dan Keluarga

1 Hati:

(a)    Anak wajib berkasih sayang terhadap ibu bapa. Contohnya sentiasa menjaga hati dan perasaan serta tidak membenci mereka.

(b)   Prihatin dan mengambil berat dengan selalu bertanya khabar serta menghulurkan bantuan yang diperlukan.

(c)    Hormat-menghormati antara satu sama lain dengan memupuk kasih sayang dan membina keluarga bahagia. Contohnya selalu ceria dan menunjukkan muka manis di hadapan mereka.

2 Percakapan

(a)    Bersopan santun iaitu bercakap dengan nada suara dan intonasi yang lemah lembut. Contohnya tidak meninggikan suara dan marah.

(b)   Tidak menyanggah percakapan ibu bapa dan mendengar dengan penuh perhatian. Diam sahaja jika tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan.

(c)    Menggunakan suara yang lembut bagi menyenangkan hati dan menjaga perasaan mereka.

3 Tingkah laku

(a)    Jika tinggal berasingan, selalu menziarahi ibu bapa dan keluarga. Mengunjungi mereka dapat menghilangkan perasaan rindu terhadap anak dan cucu.

(b)   Menjaga hubungan baik dengan kawan ibu bapa dapat mengeratkan silaturrahim dalam masyarakat.

(c)    Merawat dan menjaga ibu bapa yang sakit dan tua. Contohnya membawa mereka ke hospital untuk mendapat rawatan yang sepatutnya.

(d)   Memberikan nafkah atau perbelanjaan kepada ibu bapa.

 

Kepentingan Beradab Kepada Ibu Bapa Dan Keluarga

1 Melaksanakan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW  yang menghendaki setiap orang Islam beradab terhadap ibu bapa dan keluarga.

2 Membina kewibawaan diri kerana keluarga yang bahagia dan saling berkasih sayang dapat membentuk individu yang berjaya di dunia dan akhirat.

3 Menjadi contoh teladan kerana setiap orang yang beradab dengan ibu bapa akan diikuti oleh orang lain.

4 Membina keluarga yang bahagia kerana saling membantu.

 

Punca Penderhakaan Kepada Ibu Bapa

1 Terdapat beberapa punca penderhakaan kepada ibu bapa:

(a)    Kurang penghayatan agama dalam kehidupan.

-        Anak tidak dapat menilai antara baik dengan buruk dari sudut agama.

-        Contoh: anak tidak rasa bersalah membantah ibu bapa.

(b)   Kurang menghayati pengajaran agama di sekolah.

-        Anak-anak tidak mengamalkan apa-apa yang dipelajari.

-        Contoh: mereka belajar sekadar untuk lulus dalam peperiksaan.

(c)    Terpengaruh dengan rakan yang negatif.

-        Anak-anak boleh terpengaruh dengan rakan mereka yang melakukan perkara yang negatif.

-        Contoh: tidak menghormati dan tidak mendengar nasihat ibu bapa semata-mata menjaga hati rakan.

 

Akibat Tidak Beradab Kepada Ibu Bapa Dan Keluarga

1 Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: Tidak masuk syurga anak derhaka.

 

2 Antara akibat tidak beradab kepada ibu bapa dan keluarga mengikut aspek:

(a)    Individu:

-        Mendapat kemurkaan Allah SWT. Umat Islam diperintahkan berbuat baik kepada ibu bapa dan anggota keluarga. Derhaka kepada ibu bapa bererti melanggar perintah Allah SWT.

-        Disisih dan dipinggirkan ibu bapa dan keluarga.

-        Berdosa besar dan boleh membawa ke neraka jika tidak bertaubat.

(b)   Masyarakat:

-        Tidak dihormati oleh masyarakat kerana dianggap tidak berakhlak.

-        Anggota keluarga berpecah dan susah untuk mendapatkan pertolongan.

-        Susah untuk mendapat kawan yang baik kerana mereka tidak berkawan dengan anak derhaka. Mereka menjauhkan diri kerana tidak mahu terpengaruh dengan orang yang tidak berakhlak.

(c)    Negara:

-        Tidak maju kerana institusi kekeluargaan runtuh.

-        Tidak aman dan makmur kerana rakyat tidak bersatu padu.

-        Berlaku pelbagai gejala sosial yang menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan banyak wang, tenaga dan masa untuk pemulihan akhlak.

 

Friday 24 March 2023

NOTA T2P25 – MENYEMAI KASIH MENUAI SAYANG

T2P25 – MENYEMAI KASIH MENUAI SAYANG

 

Maksud Kasih Sayang (Mahabbah)

1 Kasih sayang dari segi bahasa ialah cinta, kasih, sayang dan kecenderungan diri. Maksudnya dari segi istilah pula ialah kecenderungan diri terhadap sesuatu yang baik.

 

Dalil Nakli Kasih Sayang

1 Firman Allah SWT:

(a)    

(Surah al-Maidah : Ayat 13)

Maksud: ... Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang berusaha membuat kebaikan.

 

 (b)    

(Surah al-Fath : Ayat 29)

Maksud: Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah, dan orang bersama dengannya bersikap tegas terhadap orang kafir (musuh Islam) dan berkasih sayang sesama sendiri (umat Islam) ...

 

2 Sabda Rasulullah SAW, daripada Anas bin Malik:

Maksud: Tidak (sempurna) iman seseorang kamu hingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.

 

Sifat Kasih Sayang Rasulullah SAW

1 Rasulullah SAW sayang kepada Khadijah dan ahli keluarga baginda yang lain termasuklah anak-anak dan cucu-cucu baginda.

2 Baginda mengasihi para sahabat dan umat seluruhnya.

3 Binatang dan haiwan juga tidak tertinggal daripada sifat kasih sayang Rasulullah SAW.

4 Kunjung mengunjung dan hormat menghormati dijadikan amalan.

 

Sifat Kasih Sayang Yang Diredai Allah SWT

1 Cinta Allah SWT dan rasul:

(a)    Mendahulukan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.

(b)   Menegur perbuatan mungkar

2 Kasihi ibu bapa, adik beradik dan kaum kerabat:

(a)    Mentaati ibu bapa.

(b)   Mengasihi adik beradik atas dasar silaturrahim.

(c)    Menziarahi sanak saudara dan memenuhi undangan.

3 Sayangi saudara seagama:

(a)    Mengajak berbuat kebaikan dan mengamalkan perintah Alah SWT.

(b)   Menghormati orang yang lebih tua.

(c)    Mengasihi orang yang lebih muda.

(d)   Membantu anak yatim, wanita, orang miskin dan orang kurang upaya.

 

Sifat Kasih Sayang Yang Dimurkai Allah SWT

1 Cinta yang melampaui batas syarak:

(a)    Cinta antara lelaki dengan perempuan ajnabi sehingga mendorong perbuatan zina.

2 Kasih demi kepentingan kebendaan:

(a)    Cinta kerana rupa paras, harta benda dan pangkat.

3 Sayang secara keterlaluan:

(a)    Mengutamakan rakan lebih daripada ibu bapa.

 

Hubungan Sifat Kasih Sayang Dengan Iman

1 Kasih sayang mempunyai kaitan yang rapat dengan iman seseorang.

2 Abu Umamah berkata, Rasulullah SAW bersabda:

                                                        

Maksud: Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi dan menghalang pemberian kerana Allah, maka sesungguhnya sempurnalah iman.

3 Hadis di atas menjelaskan bahawa orang Islam perlu berkasih sayang kerana Allah SWT.

4 Membenci juga hendaklah kerana Allah SWT, iaitu membenci perbuatan yang menyalahi syarak yang dilakukannya, bukan membenci pelakunya.

 

Tuntutan Berkasih Sayang

1 Menyayangi Allah SWT kerana Allah maha pemberi rahmat dan nikmat seperti nikmat iman, kesempurnaan tubuh badan, kesihatan dan dikelilingi orang tersayang.

2 Menyayangi Rasululah SAW kerana baginda sanggup menanggung pelbagai ujian ketika menyampaikan dakwah Islam sehingga tersebar ke seluruh alam.

3 Menyayangi ibu bapa kerana mereka melahirkan, memberi nafkah, mengasihi dan mendidik anak-anak sejak kecil. Juga menyayangi adik beradik kerana mereka banyak membantu.

4 Menyayangi semua orang Islam kerana mereka saudara seagama dan kita akan berasa gembira serta selamat berada bersama dengan masyarakat muslim. Juga kasih kepada orang bukan Islam kerana kehadiran mereka memberi peluang untuk berdakwah dan menambah kebajikan.

 

Cara Menyuburkan Sifat Berkasih Sayang Yang Diredai Allah SWT

1 Tolong-menolong ke arah kebaikan dan berpesan dengan kebenaran.

2 Bersangka baik dan menutup aib orang lain.

3 Menjaga tutur kata supaya tidak menyakiti hati dan perasaan.

4 Memberi hadiah dan menziarahi anggota keluarga, guru dan rakan.

5 Menghormati yang lebih tua dan mengasihi yang muda.

6 Merendah diri kepada orang lain.

 

Hikmah Sifat Kasih Sayang Dalam Kehidupan

1 Memenuhi tuntutan agama kerana Allah SWT dan Rasulullah SAW mengajar berkasih sayang. Umat Islam dituntut mencintai Allah dan rasul-Nya lebih daripada segala-galanya.

2 Meraikan perasaan cinta mengikut peraturan dan bimbingan agama. Contohnya dalam mencintai harta, Islam menggariskan cara mendapatkan harta dan sumber pemerolehan harta hendaklah halal dan digunakan pada jalan yang betul dan baik.