Tuesday 7 March 2023

NOTA T2P18 – PUASA BENTENG DIRI

T2P18 – PUASA BENTENG DIRI

 

Keistimewaan Bulan Ramadan

1 Bulan diturunkan al-Quran.

2 Bulan untuk berpuasa.

3 Ada lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

4 Bulan pengampunan.

 

Maksud Puasa

1 Puasa dari segi bahasa ialah menahan diri. Maksudnya dari segi istilah pula ialah menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa, bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari mengikut syarat tertentu dan disertai dengan niat puasa.

 

Hukum Puasa

1 Wajib berpuasa pada bulan Ramadan bagi setiap individu muslim.

 

Dalil Puasa

1 Allah SWT berfirman:

(Surah al-Baqarah : Ayat 183)

Maksud: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

 

2 Rasulullah SAW bersabda, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: 

Maksud: Berpuasalah kamu kerana melihat (anak bulan Ramadan) dan berbukalah (berayalah) kamu kerana melihat (anak bulan Syawal).

 

Syarat Wajib Puasa

1 Islam, bukan kafir.

2 Baligh, bukan kanak-kanak.

3 Berakal, tidak gila.

4 Tidak uzur syarie yang menghalangnya berpuasa.

(a)    Haid atau nifas.

(b)   Gila walaupun seketika.

(c)    Pitam sepanjang hari.

5 Tidak uzur syarie yang mengharuskannya berbuka puasa.

(a)    Musafir.

(b)   Sakit yang memudaratkan.

(c)    Orang tua atau pesakit yang tiada harapan untuk sembuh.

 

Syarat Sah Puasa

1 Islam, bukan kafir.

2 Mumaiyiz.

3 Tidak uzur syarie yang menghalangnya berpuasa.

(a)    Haid atau nifas.

(b)   Gila walaupun seketika.

(c)    Pitam sepanjang hari.

 

Rukun Dan Perkara Yang Membatalkan Puasa

Rukun Puasa:

1 Niat puasa dalam hati.

(a)    Maksud: Sahaja aku berpuasa esok hari kerana mengerjakan fardu Ramadan pada tahun ini kerana Allah taala.

 

2 Tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa.

(a)    Perkara yang membatalkan puasa.

-        Makan dan minum.

-        Muntah dengan sengaja.

-        Haid atau nifas.

-        Mengeluarkan air mani dengan sengaja.

-        Pitam sepanjang hari.

-        Hilang akal.

-        Memasukkan sesuatu ke dalam anggota badan melalui rongga terbuka.

-        Bersetubuh.

-        Murtad.

 

Perkara Makruh Ketika Berpuasa

1 Perkara-perkara makruh ketika berpuasa:

(a)    Tidur berlebihan pada siang hari.

(b)   Merasa makanan di lidah tanpa menelannya.

(c)    Berkumur atau memasukkan air ke hidung secara berlebihan.

(d)   Mandi wajib selepas fajar.

(e)    Berbekam.

(f)     Mandi secara berlebihan untuk menyegarkan badan.

(g)    Melewatkan berbuka.

(h)   Melakukan permulaan persetubuhan bagi suami isteri.

 

Sunat Puasa

1 Ketika sahur:

(a)    Bersahur.

(b)   Melewatkan sahur.

(c)    Mandi wajib sebelum fajar jika berjunub.

2 Ketika berbuka:

(a)    Bersegera untuk berbuka.

(b)   Mendahulukan kurma, air atau makanan manis ketika berbuka.

(c)    Membaca doa berbuka puasa:

       Maksud: Ya Allah, kerana-Mu aku berpuasa, dengan rezeki-Mu aku berpuasa, hilang dahaga dan basah urat saraf dan tetaplah pahala dengan izin-Mu.

(d)   Menjamu orang lain berbuka puasa walau hanya dengan sebiji kurma atau sekotak air.

3 Ibadah pada waktu siang dan malam:

(a)    Membaca al-Quran.

(b)   Berzikir, berselawat dan berdoa.

(c)    Bersedekah.

(d)   Beriktikaf di masjid, terutama pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

(e)    Menahan lidah daripada perkara yang haram seperti mengumpat dan berbohong.

(f)     Menahan diri daripada perbuatan yang memberahikan seperti menonton video lucah dan meihat bukan mahram tanpa sebab.

(g)    Solat tarawih dan witir (waktu malam sahaja).

 

Jenis Puasa

1 Puasa wajib:

(a)    Puasa Ramadan.

(b)   Puasa qadak.

(c)    Puasa nazar.

(d)   Puasa kaffarah.

2 Puasa sunat:

(a)    Puasa pada hari Isnin dan Khamis.

(b)   Puasa selang sehari (puasa Nabi Daud AS).

(c)    Puasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah).

(d)   Puasa pada hari Taasua’ (9 Muharram) dan A’syura (10 Muharram).

(e)    Puasa pada hari putih (Al-Ayyamu al-Baidho), iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan.

(f)     Puasa enam hari pada bulan Syawal selepas Eidulfitri.

3 Puasa makruh:

(a)    Puasa pada hari Jumaat sahaja.

(b)   Puasa pada hari Sabtu sahaja.

(c)    Puasa pada hari Ahad sahaja.

(d)   Puasa sepanjang tahun.

4 Puasa haram:

(a)    Puasa pada hari raya Eidulfitri dan Eiduladha.

(b)   Puasa pada hari tasyrik, iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

(c)    Puasa selepas Nisfu Syaaban (kecuali bagi orang yang biasa berpuasa dan orang yang wajib berpuasa).

(d)   Puasa pada hari syak, iaitu berpuasa pada 30 Syaaban.

 

Golongan Yang Diharuskan Berbuka Puasa

1 Golongan yang diharuskan berbuka puasa:

(a)    Musafir yang diharuskan syarak.

(b)   Orang yang ditimpa sakit yang memudaratkan.

(c)    Orang tua yang tidak mampu berpuasa.

(d)   Ibu yang mengandung atau menyusukan anak yang bimbang akan kesihatan diri atau anaknya.

(e)    Orang yang terlalu lapar atau dahaga sehingga boleh membahayakan dirinya.

(f)     Orang yang melakukan pekerjaan berat sehingga boleh memudaratkan dirinya jika meneruskan puasa.

 

Maksud Qadak, Fidyah Dan Kaffarah Puasa

1 Qadak ialah mengganti hari puasa Ramadan bagi setiap hari yang ditinggalkan.

2 Fidyah ialah memberi makan fakir miskin dengan kadar secupak makanan asasi sesebuah negara bagi sehari puasa yang ditinggalkan. Secupak bersamaan dengan 675 gram makanan.

3 Kaffarah ialah denda yang dikenakan kepada suami yang membatalkan puasa pada bulan Ramadan dengan melakukan persetubuhan, mengikut turutan berikut:

(a)    Memerdekakan seorang hamba.

(b)   Jika tidak mampu, berpuasa dua bulan berturut-turut.

(c)    Jika tidak mampu, memberi makan kepada 60 orang miskin dengan kadar secupak seorang.

 

Qadak, Fidyah Dan Kaffarah Puasa Bagi Golongan Yang Diharuskan Berbuka Puasa

1 Wajib qadak:

(a)    Musafir yang diharuskan syarak.

(b)   Orang yang ditimpa sakit yang memudaratkan.

(c)    Perempuan haid atau nifas.

(d)   Ibu yang mengandung atau menyusukan anak yang bimbang akan kesihatan diri.

2 Wajib fidyah:

(a)    Pesakit yang tiada harapan untuk sembuh.

(b)   Orang tua yang tidak mampu berpuasa.

(c)    Orang yang mati sebelum sempat qadak puasa, jika tidak diqadak oleh waris.

3 Wajib qadak dan fidyah:

(a)    Ibu yang mengandung atau menyusukan anak yang bimbang akan kesihatan anaknya.

(b)   Tidak qadak puasa tanpa keuzuran sehingga masuk bulan Ramadan seterusnya.

4 Wajib qadak dan kaffarah:

(a)    Suami yang membatalkan puasa pada bulan Ramadan dengan melakukan persetubuhan.

 

Hikmah Puasa

1 Menambah ketaatan kepada Allah SWT kerana melaksanakan ibadah kepada-Nya dan mengurangkan maksiat.

2 Memelihara kesihatan badan kerana merehatkan sistem pencernaan dan mengatur diet seimbang.

3 Melahirkan sifat mahabbah dan belas ihsan kepada fakir miskin kerana merasai pengalaman kekurangan makanan.

4 Menjimatkan perbelanjaan kerana puasa dapat mengurangkan perbelanjaan makanan dan minuman pada siang hari.

5 Mengelakkan diri daripada terjerumus dalam perzinaan kerana dapat mengawal nafsu syahwat.

 

Kelebihan Puasa Dari Sudut Sains

1 Puasa merupakan satu daripada proses detoksifikasi, iaitu proses menyucikan dan membersihkan badan daripada racun dan toksin.

2 Puasa dapat menyembuhkan atau membantu mempercepat proses penyembuhan penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, sakit kulit dan gangguan pada sistem penghadaman.

3 Melewatkan sahur membantu memelihara kesihatan badan dan mengelakkan risiko seperti kegemukan, sakit jantung, kencing manis dan kekurangan zat besi yang mengakibatkan penyakit anemia.

4 Kurma yang digalakkan untuk dimakan ketika berbuka mengandungi sejenis gula yang mudah diserap oleh badan iaitu glukosa dan fruktosa serta 23 jenis asid amino yang sebahagiannya tidak terdapat dalam buah-buahan yang lain.

 

 


0 komen:

Post a Comment