Monday 27 March 2023

NOTA T2P26 – MULIAKAN IBU BAPA BAHAGIAKAN KELUARGA

T2P26 – MULIAKAN IBU BAPA BAHAGIAKAN KELUARGA

 

Dalil Nakli Kewajipan Beradab Kepada Ibu Bapa

1 Firman Allah SWT:

(Surah al-Nisa : Ayat 36)

Maksud: Hendaklah kamu beribadah kepada Allah SWT, janganlah kamu mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu. Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.

 

2 Sabda Rasulullah SAW:

Maksud: Reda tuhan (Allah SWT) terletak pada reda ibu bapa dan kemurkaan tuhan (Allah SWT) terletak pada kemarahan ibu bapa.

 

Cara Beradab Kepada Ibu Bapa Dan Keluarga

1 Hati:

(a)    Anak wajib berkasih sayang terhadap ibu bapa. Contohnya sentiasa menjaga hati dan perasaan serta tidak membenci mereka.

(b)   Prihatin dan mengambil berat dengan selalu bertanya khabar serta menghulurkan bantuan yang diperlukan.

(c)    Hormat-menghormati antara satu sama lain dengan memupuk kasih sayang dan membina keluarga bahagia. Contohnya selalu ceria dan menunjukkan muka manis di hadapan mereka.

2 Percakapan

(a)    Bersopan santun iaitu bercakap dengan nada suara dan intonasi yang lemah lembut. Contohnya tidak meninggikan suara dan marah.

(b)   Tidak menyanggah percakapan ibu bapa dan mendengar dengan penuh perhatian. Diam sahaja jika tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan.

(c)    Menggunakan suara yang lembut bagi menyenangkan hati dan menjaga perasaan mereka.

3 Tingkah laku

(a)    Jika tinggal berasingan, selalu menziarahi ibu bapa dan keluarga. Mengunjungi mereka dapat menghilangkan perasaan rindu terhadap anak dan cucu.

(b)   Menjaga hubungan baik dengan kawan ibu bapa dapat mengeratkan silaturrahim dalam masyarakat.

(c)    Merawat dan menjaga ibu bapa yang sakit dan tua. Contohnya membawa mereka ke hospital untuk mendapat rawatan yang sepatutnya.

(d)   Memberikan nafkah atau perbelanjaan kepada ibu bapa.

 

Kepentingan Beradab Kepada Ibu Bapa Dan Keluarga

1 Melaksanakan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW  yang menghendaki setiap orang Islam beradab terhadap ibu bapa dan keluarga.

2 Membina kewibawaan diri kerana keluarga yang bahagia dan saling berkasih sayang dapat membentuk individu yang berjaya di dunia dan akhirat.

3 Menjadi contoh teladan kerana setiap orang yang beradab dengan ibu bapa akan diikuti oleh orang lain.

4 Membina keluarga yang bahagia kerana saling membantu.

 

Punca Penderhakaan Kepada Ibu Bapa

1 Terdapat beberapa punca penderhakaan kepada ibu bapa:

(a)    Kurang penghayatan agama dalam kehidupan.

-        Anak tidak dapat menilai antara baik dengan buruk dari sudut agama.

-        Contoh: anak tidak rasa bersalah membantah ibu bapa.

(b)   Kurang menghayati pengajaran agama di sekolah.

-        Anak-anak tidak mengamalkan apa-apa yang dipelajari.

-        Contoh: mereka belajar sekadar untuk lulus dalam peperiksaan.

(c)    Terpengaruh dengan rakan yang negatif.

-        Anak-anak boleh terpengaruh dengan rakan mereka yang melakukan perkara yang negatif.

-        Contoh: tidak menghormati dan tidak mendengar nasihat ibu bapa semata-mata menjaga hati rakan.

 

Akibat Tidak Beradab Kepada Ibu Bapa Dan Keluarga

1 Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: Tidak masuk syurga anak derhaka.

 

2 Antara akibat tidak beradab kepada ibu bapa dan keluarga mengikut aspek:

(a)    Individu:

-        Mendapat kemurkaan Allah SWT. Umat Islam diperintahkan berbuat baik kepada ibu bapa dan anggota keluarga. Derhaka kepada ibu bapa bererti melanggar perintah Allah SWT.

-        Disisih dan dipinggirkan ibu bapa dan keluarga.

-        Berdosa besar dan boleh membawa ke neraka jika tidak bertaubat.

(b)   Masyarakat:

-        Tidak dihormati oleh masyarakat kerana dianggap tidak berakhlak.

-        Anggota keluarga berpecah dan susah untuk mendapatkan pertolongan.

-        Susah untuk mendapat kawan yang baik kerana mereka tidak berkawan dengan anak derhaka. Mereka menjauhkan diri kerana tidak mahu terpengaruh dengan orang yang tidak berakhlak.

(c)    Negara:

-        Tidak maju kerana institusi kekeluargaan runtuh.

-        Tidak aman dan makmur kerana rakyat tidak bersatu padu.

-        Berlaku pelbagai gejala sosial yang menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan banyak wang, tenaga dan masa untuk pemulihan akhlak.

 

0 komen:

Post a Comment