Monday 27 February 2023

NOTA T2P16 – TAYAMMUM DENGAN DEBU SUCI

T2P16 – TAYAMMUM DENGAN DEBU SUCI

 

Maksud Tayammum

1 Tayammum dari segi bahasa ialah melakukan sesuatu dengan tujuan. Maksudnya dari segi istilah pula ialah menyapu debu tanah yang suci ke muka dan dua tangan dengan cara tertentu berserta dengan niat bagi menggantikan wuduk atau mandi wajib.

 

Dalil Nakli Tayammum

1 Firman Allah SWT:

(Surah al-Maidah : Ayat 6)

Maksud: ... dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam perjalanan, atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk wuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah (debu) yang bersih, sapulah muka kamu dan kedua-dua belah tangan kamu dengan tanah (debu) itu ...

 

Sebab Diharuskan Tayammum

1 Ada beberapa perkara yang mengharuskan tayammum:

(a)    Tiada air atau tidak cukup kerana keperluan lain seperti untuk makan dan minum.

(b)   Sejuk yang boleh memudaratkan kesihatan.

(c)    Tidak dapat menggunakan air kerana penyakit atau sakit seperti melecur dan lain-lain.

(d)   Air berada di tempat yang terlalu jauh.

 

Syarat Tayammum

1 Syarat tayammum:

(a)    Telah masuk waktu solat.

(b)   Cari air setelah masuk waktu solat.

(c)    Hilangkan najis terlebih dahulu.

(d)   Menggunakan debu tanah yang tidak bercampur dengan bahan lain seperti tepung atau kapur.

(e)    Menentukan arah kiblat sebelum bertayammum.

 

Rukun Tayammum

1 Rukun tayammum:

(a)    Niat.

(b)   Menyapu debu tanah ke muka.

(c)    Menyapu debu tanah ke tangan.

(d)   Tertib.

 

Sunat Tayammum

1 Sunat-sunat tayammum:

(a)    Membaca basmalah.

(b)   Merenggangkan jari tangan ketika menepuk debu tanah.

(c)    Menipiskan debu tanah dengan melaga-lagakan kedua-dua tangan.

(d)   Mendahulukan bahagian sebelah atas muka.

(e)    Melebihkan sedikit sapuan dari sempadan muka.

(f)     Mendahulukan tangan sebelah kanan.

(g)    Melebihkan sedikit sapuan dari sempadan siku.

(h)   Berturut-turut antara sapuan muka dan tangan.

(i)     Berdoa.

 

Cara Bertayammum

1 Cara bertayammum mengikut urutan:

(a)    Membaca basmalah - sunat.

(b)   Niat dalam hati - rukun.


Maksud: Sahaja aku bertayammum untuk mengharuskan solat fardu kerana Allah Taala.

(c)    Merenggangkan jari tangan ketika menepuk debu tanah, untuk menyapu debu tanah ke muka - sunat.

(d)   Menipiskan debu tanah dengan melaga-lagakan kedua-dua tangan - sunat.

(e)    Menyapu debu tanah ke muka - rukun.

(f)     Mendahulukan bahagian sebelah atas muka - sunat.

(g)    Melebihkan sedikit sapuan dari sempadan muka - sunat.

(h)   Merenggangkan jari tangan ketika menepuk debu tanah, untuk menyapu debu tanah ke tangan - sunat.

(i)     Menipiskan debu tanah dengan melaga-lagakan kedua-dua tangan - sunat.

(j)     Menyapu debu tanah ke tangan - rukun.

(k)    Mendahulukan tangan sebelah kanan - sunat.

(l)     Melebihkan sedikit sapuan dari sempadan siku - sunat.

(m)  Berturut-turut antara sapuan muka dan tangan - sunat.

(n)   Berdoa sama seperti doa selepas wudhuk - sunat:


Maksud: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad hamba dan pesuruh-Nya. Ya Allah ya tuhanku, jadikanlah aku dalam kalangan orang yang suka bertaubat, jadikanlah aku orang yang menyucikan diri, dan jadikanlah aku dalam kalangan hamba-Mu yang soleh.

(o)   Tertib - rukun.

 

Perkara Yang Membatalkan Tayammum

1 Perkara-perkara yang membatalkan tayammum:

(a)    Semua perkara yang membatalkan wuduk.

(b)   Ada air sebelum bermulanya solat.

(c)    Sembuh daripada penyakit yang menghalang penggunaan air.

 

Hikmah Disyariatkan Tayammum

1 Menjaga kesucian dan kemuliaan agama kerana melaksanakan solat dalam apa jua keadaan.

2 Menunjukkan kasih sayang Allah SWT kerana memberi keringanan untuk melakukan ibadah dalam apa jua keadaan.

3 Memelihara kesihatan badan daripada kemudaratan kerana antara tujuan tayammum termasuklah mengelakkan penyakit daripada semakin merebak atau lambat sembuh.

4 Menghindari sebarang bentuk kemudaratan pada anggota badan kerana menggunakan air ketika cuaca yang terlalu sejuk.

 

 

 

0 komen:

Post a Comment