Tuesday 7 February 2023

NOTA T2P09 – MUNGKAR DICEGAH HIDUP BERKAT

T2P09 – MUNGKAR DICEGAH HIDUP BERKAT

 

Hadis


 

Terjemahan:        Daripada Abi Said al-Khudri RA, dia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa dalam kalangan kamu melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya dan (mengubah dengan hati) itulah selemah-lemah iman.

 

Maksud Kemungkaran

1 Mungkar dari segi bahasa ialah perbuatan atau perkataan yang dianggap buruk oleh akal yang sihat. Dari segi istilah pula ialah perbuatan atau perkataan yang ditegah oleh syarak atau yang melanggar perintah Allah SWT.

 

Hukum Menangani Kemungkaran

1 Setiap orang Islam wajib menangani kemungkaran mengikut kemampuan sendiri.


2 Firman Allah SWT:

(Surah Ali Imran : Ayat 110)

Maksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah ahli kitab (yahudi dan nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya) tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (tetapi) Antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka ialah orang yang fasik.

 

Cara Menangani Kemungkaran

1 Kemungkaran perlu ditangani secara berhikmah, iaitu menggunakan pendekatan yang betul, sesuai dan berkesan agar pelakunya lebih mudah menerima teguran dan bersedia meninggalkan kemungkaran tersebut.


2 Firman Allah SWT:

(Surah an-Nahl : Ayat 125)

Maksud: Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah bijaksana dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang paling baik. Sesungguhnya tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.

 

3 Cara-cara mencegah kemungkaran:

(a)    Mencegah dengan tangan.

-    Menggunakan kuasa yang ada mengikut kemampuan dan bidang kuasa seperti ketua keluarga, ketua kelas, pengawas dan ketua negara.

(b)   Mencegah dengan lidah.

-        Menegur, menasihati atau melaporkan kemungkaran secara lisan atau tulisan.

(c)    Mencegah dengan hati

-   Membenci dan menjauhi kemungkaran yang berlaku serta berazam untuk tidak melakukannya. Dalam masa yang sama berharap dan berdoa agar pelakunya diberi hidayah untuk bertaubat.

 

Hikmah Menangani Kemungkaran

1 Meningkatkan kualiti diri melalui nasihat dan teguran.

2 Mewujudkan masyarakat yang harmoni dengan sikap prihatin dan saling mengingatkan.

3 Negara aman sejahtera kerana mendapat keredaan Allah SWT.

 

Pengajaran Hadis

1 Pengajaran daripada hadis yang dapat dipelajari:

(a)    Kita hendaklah mencegah kemungkaran dengan kuasa yang ada seperti menguatkuasakan undang-undang agar hak semua pihak akan terpelihara.

(b)   Kita hendaklah menangani kemungkaran secara lisan atau tulisan seperti nasihat dan teguran yang membina agar maksiat dapat dibendung.

(c)    Kita hendaklah membenci kemungkaran dalam hati dan berusaha untuk menjauhinya supaya diri terpelihara daripada melakukannya.

 

 

 


0 komen:

Post a Comment