Wednesday 15 February 2023

NOTA T2P11 – KEKUATAN DAN KEKUASAAN ALLAH SWT

T2P11 – KEKUATAN DAN KEKUASAAN ALLAH SWT

 

UNIT 1 : AL-QODIR

 

Maksud Al-Qodir

1 Al-qodir dari segi bahasa ialah yang menentukan. Maksudnya dari segi istilah pula ialah nama Allah yang menunjukkan bahawa Allah SWT yang maha berkuasa menentukan sesuatu perkara berdasarkan kehendak (iradat) dan ilmu-Nya.

 

Dalil Nakli Allah SWT Bersifat Al-Qodir

1 Firman Allah SWT:

(Surah al-An’am : Ayat 65)

Maksud: Katakanlah Dialah yang berkuasa untuk menghantarkan kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu atau bawah kaki kamu, atau Dia menjadikan kamu berselisih pendapat dan berpecah belah berpuak-puak. Dan Dia merasakan sebahagian daripada kamu akan melakukan perbuatan ganas dan kejam terhadap sebahagian yang lain. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai-bagai cara supaya kamu memahaminya.

 

Bukti Allah SWT Bersifat Al-Qodir

1 Allah menguasai seluruh alam meliputi matahari, bulan, bintang dan cakerawala.

Firman Allah SWT:

(Surah al-Ankabut : Ayat 61)

Maksud: Sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-Nya) sudah tentu mereka menjawab “Allah” maka bagaimana mereka tergamak berpaling.

 

2 Allah berkuasa menukarkan siang dan malam.

Firman Allah SWT:

(Surah al-Jasiyah : Ayat 5)

Maksud: Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuhan di bumi sesudah mati, serta (pada) peredaran angin (semuanya itu mengandungi) tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya serta keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

 

3 Allah berkuasa mencipta langit dan bumi serta berkuasa mencipta dan menghancurkan segala yang ada di langit dan di bumi.

Firman Allah SWT:

(Surah al-Israk : Ayat 99)

Maksud: Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa menciptakan orang seperti mereka (dalam bentuk yang baharu). Sedangkan Dia telah pun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak ada syak padanya. Dalam pada itu, orang yang zalim enggan menerima melainkan kekufuran.

 

4 Allah berkuasa mengurniakan mukjizat kepada nabi dan rasul. Contohnya al-Quran iaitu mukjizat agung kepada nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT:

(Surah al-Israk : Ayat 88)

Maksud: Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya. Walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.

 

5 Allah berkuasa menurunkan hujan dengan sukatan yang tertentu.

Firman Allah SWT:

(Surah al-Mukminun : Ayat 18)

Maksud: Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran, lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi, dan sesungguhnya Kami benar-benar berkuasa menghilangkannya.

 

6 Allah berkuasa menghidupkan semula orang yang telah mati.

Firman Allah SWT:

(Surah al-Qiyamah : Ayat 40)

Maksud: Adakah (tuhan yang menjadikan semua) itu tidak berkuasa menghidupkan orang yang mati?

 

 

 

 

UNIT 2 : AL-QOWIY

 

Maksud Al-Qowiy

1 Al-qowiy dari segi bahasa ialah yang kuat, yang gagah. Maksudnya dari segi istilah pula ialah nama Allah yang menunjukkan bahawa Allah SWT yang maha kuat dan mempunyai kekuatan yang sempurna.

 

Allah SWT Bersifat Al-Qowiy

1 Al-qowiy ialah sifat kesempurnaan Allah SWT yang wajib diimani.

2 Allah SWT memiliki kekuatan yang sempurna yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa.

3 Kemampuan Allah SWT secara mutlak mengikut kehendak-Nya tanpa halangan.

4 Allah SWT mampu membantu sesiapa yang membantu agama-Nya dan mengazab sesiapa yang ingkar.

5 Firman Allah SWT:

(Surah ar-Rum : Ayat 41)

Maksud: Timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut akibat perbuatan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang dilakukan supaya mereka kembali (insaf dan taubat).

 

 

Dalil Nakli Allah SWT Bersifat Al-Qowiy

1 Firman Allah SWT:

(Surah al-Anfal : Ayat 52)

Maksud: (Keadaan orang kafir itu) samalah seperti keadaan firaun dan kaumnya serta orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka kufur (ingkar) akan ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa mereka. Sesungguhnya Allah maha kuat lagi amat berat seksa-Nya.

 

2 Hadis Rasulullah SAW daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA:

Maksud: Adakah kamu mahu aku tunjukkan perkataan daripada khazanah syurga? Jawabku: Tunjukkanlah Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW (la haula wala quwwata illa billah) tidak ada daya dan upaya (kekuatan) melainkan Allah.

 

Bukti Allah SWT Bersifat Al-Qowiy

1 Allah berkuasa memberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang berusaha mencarinya dengan cara yang betul.

Firman Allah SWT:

(Surah asy-Syura : Ayat 19)

Maksud: Allah maha lembut tadbiran-Nya (serta melimpah kebaikan dan belas kasihan-Nya) kepada hamba-Nya, Dia memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan). Dialah yang maha kuat lagi maha kuasa.

 

2 Allah SWT berkuasa mengazab sesiapa yang melakukan dosa dengan azab yang sangat pedih.

Firman Allah SWT:

(Surah Ghafir : Ayat 22)

Maksud: Kebinasaan mereka yang demikian adalah kerana mereka sentiasa didatangi oleh rasul yang diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan (hukum dan mukjizat) yang jelas, maka mereka kufur. Lalu Allah menyeksa mereka, sesungguhnya Allah yang maha kuat lagi amat berat azab seksa-Nya.

 

 

 

 

 

0 komen:

Post a Comment