Friday 24 February 2023

NOTA T2P15 – SOLAT JUMAAT WADAH KESATUAN

T2P15 – SOLAT JUMAAT WADAH KESATUAN

 

UNIT 1 : SOLAT JUMAAT

 

Maksud Solat Jumaat

1 Solat Jumaat dari segi bahasa ialah perhimpunan (segala kebaikan) yang diambil daripada perkataan al-Jumuah atau al-Jum’ah. Maksudnya dari segi istilah pula ialah solat dua rakaat secara berjemaah pada hari Jumaat dalam waktu Zohor yang didahului oleh dua khutbah berserta dengan rukun dan syarat tertentu. Solat ini menggantikan solat Zohor.

 

Dalil Solat Jumaat

1 Firman Allah SWT:

(Surah al-Jumu’ah : Ayat 9)

Maksud: Wahai orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu)...

 

2 Sabda Rasulullah SAW, diriwayatkan oleh Tariq bin Syihab RA:

Maksud: (Solat) Jumaat tanggungjawab yang wajib (ditunaikan) oleh setiap muslim secara berjemaah kecuali empat (golongan): hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit.

 

Hukum Solat Jumaat

1 Fardu ain bagi setiap lelaki muslim yang mukallaf.

 

Syarat Wajib Solat Jumaat

1 Syarat wajib solat Jumaat:

(a)    Islam, bukan kafir.

(b)   Baligh, bukan kanak-kanak.

(c)    Berakal, bukan gila.

(d)   Merdeka, bukan hamba.

(e)    Lelaki, bukan perempuan.

(f)     Sihat.

(g)    Mastautin, bukan musafir. Solat Jumaat kekal wajib bagi mukim yang mendengar azan.

 

Syarat Sah Solat Jumaat

1 Syarat sah solat Jumaat:

(a)    Didirikan di masjid.

(b)   Bilangan jemaah sekurang-kurangnya 40 orang yang bermastautin termasuk imam.

(c)    Didirikan dalam waktu Zohor.

(d)   Hanya satu solat Jumaat bagi satu tempat.

(e)    Didirikan secara berjemaah.

(f)     Didahului dua khutbah.

 

Maksud Mastautin, Mukim Dan Musafir Beserta Hukum Menunaikan Solat Jumaat

1 Mastautin ialah orang yang tinggal tetap di sesuatu tempat – Wajib solat Jumaat.

2 Musafir ialah orang yang dalam perjalanan dengan jarak melebihi dua marhalah, bersamaan dengan 81 kilometer – Wajib solat Jumaat jika memulakan perjalanan selepas waktu Subuh hari Jumaat.

3 Mukim ialah orang yang menetap di satu tempat lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari perjalanannya – Wajib solat Jumaat jika mendengar azan.

 

Hikmah Solat Jumaat

1 Melaksanakan salah satu ajaran Islam.

2 Menzahirkan syiar Islam pada hari kebesarannya iaitu hari Jumaat.

3 Saling mengenali dan merapatkan ukhwah antara umat Islam.

4 Menyatukan pandangan umat Islam serta mengaitkan isu semasa yang berlaku dalam masyarakat dan negara melalui khutbah.

5 Melatih umat Islam supaya bersatu.

 

 

UNIT 2 : KHUTBAH JUMAAT

 

Maksud Dan Hukum Khutbah Jumaat

1 Khutbah Jumaat ialah ucapan yang disampaikan oleh khatib sebelum solat Jumaat yang mengandungi nasihat, peringatan dan pengajaran mengikut syarat tertentu.

2 Hukumnya ialah wajib dan termasuk dalam syarat sah Jumaat.

 

Syarat Khutbah Jumaat

1 Bagi khatib:

(a)    Berdiri jika mampu dan duduk antara dua khutbah.

(b)   Khutbah disampaikan sebelum solat Jumaat.

(c)    Rukun khutbah disampaikan dalam bahasa Arab.

(d)   Suci daripada hadas dan najis serta menutup aurat.

2 Bagi khutbah:

(a)    Berturut-turut antara rukun khutbah, khutbah pertama dengan khutbah kedua serta khutbah kedua dengan solat.

(b)   Rukun khutbah didengar oleh 40 jemaah (mastautin) yang wajib solat Jumaat.

 

Rukun Khutbah

1 Rukun kutbah Jumaat ada lima, iaitu:

(a)    Memuji Allah SWT sekurang-kurangnya alhamdulillah.

(b)   Berselawat ke atas Rasulullah SAW sekurang-kurangnya Allahumma Solli ala Sayyidina Muhammad.

(c)    Memberi nasihat supaya bertakwa.

(d)   Membaca satu ayat al-Quran pada satu daripada dua khutbah.

(e)    Berdoa untuk orang Islam pada khutbah kedua.

 

Sunat Khutbah Jumaat

1 Sunat khutbah Jumaat bagi khatib:

(a)    Berkhutbah di atas mimbar.

(b)   Duduk di atas mimbar sebelum menyampaikan khutbah.

(c)    Menghadapkan wajahnya ke hadapan tanpa menoleh ke kanan atau ke kiri.

(d)   Memberi salam setelah naik ke atas mimbar.

(e)    Menguatkan suara agar khutbah didengar oleh lebih daripada 40 orang jemaah mastautin.

(f)     Memendekkan kedua-dua khutbah. Khutbah kedua lebih pendek daripada khutbah pertama.

(g)    Memegang tongkat dengan tangan kiri.

2 Sunat khutbah Jumaat bagi makmum:

(a)    Mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib.

(b)   Solat sunat secara ringkas jika khatib sedang berkhutbah.

 

Adab Mendengar Khutbah

1 Adab mendengar khutbah:

(a)    Memberikan fokus kepada isi kandungan khutbah.

(b)   Diam dan tidak bercakap-cakap. Hukum bercakap ketika khutbah sedang disampaikan adalah makruh dan boleh menghilangkan pahala Jumaat.

(c)    Tidak tidur. Hendaklah berpindah ke tempat yang lain sekiranya rasa mengantuk dengan syarat tidak melangkah orang lain.

(d)   Tidak membuat perkara sia-sia contohnya menggunakan gajet seperti telefon bimbit untuk bermesej dengan kawan atau bermain permainan elektronik di dalamnya.

 

Amalan Sunat Hari Jumaat

1 Amalan sunat hari Jumaat:

(a)    Memotong kuku dan misai.

(b)   Mencabut bulu ketiak.

(c)    Menggunting bulu ari-ari.

(d)   Mandi sunat.

(e)    Memakai pakaian terbaik serta berwangi-wangian.

(f)     Bersegera ke masjid.

(g)    Menunaikan solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat qobliah dan ba’diah Jumaat.

(h)   Membanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW dan berdoa.

(i)     Membaca surah al-Kahfi.

 

 


0 komen:

Post a Comment