Thursday 9 February 2023

NOTA T2P10 – MENCARI YANG HALAL

T2P10 – MENCARI YANG HALAL

 

Hadis

 



Terjemahan:        Daripada Nukman bin Basyir RA dia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa yang menghindari perkara syubhah dia telah membersihkan agama dan kehormatannya, dan sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhah maka dia terjerumus ke dalam perkara yang haram, seperti pengembala yang menggembala berdekatan kawasan larangan, kemungkinan dia akan masuk ke kawasan larangan tersebut. Ketahuilah! Sesungguhnya bagi setiap raja itu memiliki kawasan larangan. Ketahuilah! Sesungguhnya kawasan larangan Allah ialah perkara yang haram. Ketahuilah! Sesungguhnya dalam tubuh itu ada seketul daging, jika daging itu baik maka baiklah seluruh tubuhnya, jika daging itu rosak maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahawa daging itu ialah hati.”

 

Maksud Halal, Haram Dan Syubhah

1 Maksud halal ialah sesuatu yang dibenarkan oleh syarak.

(a)    Contohnya:

-        Haiwan yang disembelih dengan cara Islam.

-        Pakaian yang menutup aurat.

2 Maksud haram ialah sesuatu yang dilarang oleh syarak.

(a)    Contohnya:

-        Minum arak.

-        Mencuri pakaian.

3 Maksud syubhah ialah sesuatu yang tidak diyakini halal atau haram.

(a)    Contohnya:

-        Membeli produk makanan luar negara yang tidak mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh JAKIM.

 

Hikmah Menjauhi Perkara Haram Dan Syubhah

1 Hikmah menjauhi perkara haram dan syubhah:

(a)    Menjaga kesucian dan kemuliaan agama kerana mematuhi segala perintah dan larangan Allah SWT.

(b)   Memelihara kesihatan badan daripada kemudaratan kerana menjauhi makanan beracun dan perbuatan yang memudaratkan.

(c)    Menjamin kewarasan akal daripada mabuk dan gila kerana tidak minum arak dan mengambil dadah.

(d)   Menjaga nasab dan maruah daripada rosak kerana tidak berzina dan menjauhi perbuatan yang menjerumuskan diri kepada perbuatan zina.

(e)    Memelihara harta daripada sumber yang haram dan diragui agar rezeki sentiasa diberkati.

 

Peranan Hati Dalam Kehidupan Manusia

1 Hati ialah pemimpin di dalam badan manusia.

2 Hati yang terpelihara menyebabkan seluruh badan turut terpelihara dan mudah melakukan kebaikan semata-mata kerana Allah SWT.

3 Perkara sebaliknya akan berlaku sekiranya hati tidak terpelihara, iaitu badan akan mudah melakukan maksiat kepada Allah SWT.

4 Berikut ialah ciri-ciri orang yang mempunyai hati yang bersih dan hati yang rosak:

(a)    Dari aspek iman.

-        Hati yang bersih.

i.                 Segala perintah Allah SWT dipatuhi.

ii.                Sabar dengan segala bentuk ujian.

iii.               Gementar sekiranya disebut nama Allah SWT.

-        Hati yang rosak.

i.                 Kufur dan ingkar kepada perintah Allah SWT.

ii.                Gelisah dan berkeluh kesah.

iii.               Sentiasa tertarik dengan nafsu keduniaan.

(b)   Dari aspek ilmu.

-        Hati yang bersih.

i.                 Faham peringatan dan pengajaran yang diberikan oleh Allah SWT.

ii.                Sentiasa berusaha untuk memahami kebenaran.

-        Hati yang rosak.

i.                 Tidak mahu menerima kebenaran.

ii.                Tenggelam dalam kejahilan dan kelalaian.

 

Pengajaran Hadis

1 Pengajaran daripada hadis yang dapat dipelajari:

(a)    Kita hendaklah mencari yang halal kerana ia adalah ketaatan kepada Allah SWT.

(b)   Kita hendaklah menjauhi yang haram kerana perbuatan tersebut adalah larangan dan akan diazab oleh-Nya.

(c)    Kita hendaklah berusaha untuk menghindari perbuatan yang syubhah kerana boleh membawa kepada dosa.

 

 

 

 

 

 

0 komen:

Post a Comment