Friday 27 January 2023

NOTA T2P06 – MENGHARAP KEAMPUNAN ALLAH SWT

T2P06 – MENGHARAP KEAMPUNAN ALLAH SWT

 

Ayat Kefahaman: Surah Ali Imran Ayat 133 Hingga 136

 

Terjemahan:        Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhanmu dan (mendapat) syurga yang lebarnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa (133). Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang lain dan (ingatlah) Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik (134) Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri mereka (segera) ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa selain Allah. Mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang telah dilakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan kesalahan dan akibat) (135). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada tuhan mereka dan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang yang beramal (136).

 

Tuntutan Segera Bertaubat

1 Maksud taubat ialah kembali mentaati Allah SWT setelah melakukan maksiat atau dosa.

2 Seseorang yang melakukan dosa dituntut untuk segera bertaubat.

3 Segala perbuatan dosa perlu dihentikan di samping berazam untuk tidak mengulanginya.

4 Kita dituntut untuk segera bertaubat kerana kita tidak tahu saat ajal kita akan tiba.

5 Kita juga hendaklah menjauhkan diri daripada sebarang dosa dan banyak beramal soleh.

 

Ciri Orang Yang Bertakwa

1 Ciri orang yang bertakwa:

(a)    Memohon keampunan.

Segera memohon keampunan daripada Allah SWT sekiranya melakukan dosa.

(b)   Menafkahkan harta.

Istiqomah menyumbangkan harta ketika senang atau susah.

(c)    Menahan kemarahan.

Memilih untuk menahan emosi marah walaupun boleh melepaskannya.

(d)   Memaafkan.

Memaafkan orang lain walaupun mampu membalasnya.

 

Syarat Taubat

1 Wajib hukumnya bertaubat daripada semua dosa yang dilakukan.

2 Taubat perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan memenuhi syarat-syaratnya:

(a)    Menyesal atas dosa yang dilakukan.

(b)   Beristighfar memohon keampunan Allah SWT.

(c)    Berhenti melakukan dosa dan berazam tidak mengulanginya.

(d)   Jika berkait dengan orang lain, minta maaf dan pulangkan haknya serta minta dihalalkannya.

 

Pengajaran Ayat

1 Berdasarkan pengajaran daripada surah Ali Imran ayat 134 hingga 136 yang dapat dipelajari:

(a)    Kita hendaklah segera bertaubat dan melakukan amal soleh agar menjadi orang bertakwa.

(b)  Kita hendaklah membelanjakan harta ke jalan Allah SWT dalam keadaan susah atau senang agar mendapat keredaan-Nya.

(c)    Kita hendaklah menahan kemarahan agar pergaduhan dapat dielakkan.

(d)  Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain agar hidup bermasyarakat menjadi lebih harmoni.

(e)    Kita hendaklah sentiasa memohon keampunan Allah SWT dengan beristighfar agar mendapat rahmat dan kasih sayang-Nya.

 

 

 

 

 

 


0 komen:

Post a Comment