Friday 13 January 2023

NOTA T2P03 – LUASNYA KUASA ALLAH SWT

T2P03 – LUASNYA KUASA ALLAH SWT

 

Ayat Kefahaman: Surah Ali Imran Ayat 26 Hingga 27

 

Terjemahan:        Katakanlah (wahai Muhammad), wahai tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu (26). Engkaulah (wahai tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang. Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada benda yang mati. Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati daripada sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberikan rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dengan tiada hitungan hisabnya (27).

 

Intisari Ayat

Ayat 26:

1 Allah SWT memberi dan mencabut kuasa pemerintahan.

Sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh Allah SWT akan diberi kuasa pemerintahan tanpa ada yang dapat menghalang. Begitu juga keadaannya sekiranya Allah SWT ingin mencabut kuasa pemerintahan yang ada pada seseorang, maka Allah SWT berkuasa untuk melakukannya.

2 Allah SWT memulia dan menghina manusia.

Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT mulia, maka akan dimuliakanlah dia dengan pelbagai cara seperti dengan harta benda, pangkat, ilmu dan kesihatan. Begitu juga apabila Allah SWT hendak menghina manusia, segala harta, kedudukan dan kesihatan akan ditarik kembali.

 

Ayat 27:

1 Allah SWT menjadikan malam dan siang silih berganti.

Siang dijadikan untuk bekerja mencari rezeki dan bermasyarakat manakala waktu malam digunakan untuk berehat dan beribadah.

2 Allah SWT menghidupkan dan mematikan makhluk.

Kekuasaan Allah SWT tidak terbatas dan tidak ada kuasa lain yang dapat menghalang. Contohnya Allah SWT menghidupkan bayi daripada air mani dan Allah SWT boleh mematikan sesiapa yang hidup sekiranya tiba ajal.

 

 


0 komen:

Post a Comment